Followers

Friday, 9 August 2013

Tiga maut dalam kemalangan berasingan di Pahang

7 Ogos 2013

Kuantan : Tiga orang terbunuh dalam nahas jalan raya berasingan di Pahang, dua daripadanya melibatkan lori.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pertama pada jam 1.57 pagi, seorang pemandu maut manakala kelindannya cedera parah selepas lori tanpa muatan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori lain dengan muatan perabot sekolah di kilometer 97 Jalan Lipis-Merapoh, Kuala Lipis.

Beliau berkata, ketika kejadian, Adnan Ali, 48, dari Tumpat, Kelantan dan kelindannya, Zamri Abdullah, 41, sedang menuju ke Kuala Lumpur dari arah Kota Bharu.

Dalam kemalangan lain, warga emas, Azizah Hussin, 73, dari Kampung Gelugor disini, terbunuh selepas dirempuh sebuah lori ketika sedang berjalan di KM47 Jalan Kuantan-Maran pada 8.45 pagi.

Mohamed Fauzi berkata, lori yang membawa barangan keperluan harian sebuah pasar raya itu dipercayai terbabas ketika melalui satu selekoh lalu melanggar tiang lampu dan sebatang pokok pinang sebelum merempuh mangsa yang berjalan kaki di bahu jalan.

Dalam satu lagi kemalangan, seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah selepas bertembung dengan sebuah kereta di KM345 Jalan Raub-Lipis dekat Raub pada jam 6 petang.

Mohamed Fauzi berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Baihaki Mustafa, 20, manakala pembonceng, Mohd Azharudin Mohd Nor, 18, patah paha  kanan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh. - Bernama

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment